Budak Ini Hampir Dibunuh Kejam Kerana Ingin Mendalami Ilmu Al-Quran

SOLAHUDDIN IDRIS memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran pada majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat antarabangsa Ke-57 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Walaupun rumahnya dibakar, bapanya dibunuh dan beliau sendiri diseksa dengan kerja-kerja berat, keazaman qari Kemboja, Solahuddin Idris, 56, untuk mendalami ilmu al-Quran tidak pernah pudar dalam jiwanya.

Mangsa kekejaman rejim Khmer Rouge pimpinan Saloth Sar atau lebih dikenali sebagai Pol Pot pada 1970 hingga 1980 tersebut memberitahu, dia ketika itu tetap mengabadikan diri dengan al-Quran meskipun tahu nyawanya terancam.

Berbekalkan sebuah al-Quran kecil yang berjaya diselamatkannya daripada dibakar oleh tentera Pol Pot, dia yang berusia belasan tahun ketika itu telah mengambil peluang membaca Kalam Allah tersebut setiap malam di kem buruh.

“Saya sembunyikan al-Quran itu di dalam lipatan sarung bantal di kem tersebut. Saya solat pun baring di atas katil untuk elak dikesan tentera. Kalau pihak tentera mengetahui saya masih mengamalkan Islam, pasti mereka akan bawa saya ke kawasan lapang untuk ditembak mati.

“Pernah juga saya ditangkap ketika mengambil wuduk dan diancam untuk dibunuh, tetapi setelah menerangkan kepada mereka bahawa saya hanya membasuh muka daripada debu, mereka memberi saya amaran terakhir,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selepas dibebaskan, dia berkata, keinginannya untuk mempelajari al-Quran di Malaysia menjadi membuak-buak setelah mendengar bacaan bekas johan tilawah sebanyak tujuh kali, Rogayah Sulong melalui corong radio.

Pada 1979, dia dan rakan-rakan membulatkan iltizam untuk berjalan kaki ke Malaysia, namun menemui banyak jalan buntu terutama melibatkan hal ehwal persempadanan.

“Namun begitu, kita teruskan juga merentas sempadan. Kami 15 orang kesemuanya ditembak bertubi-tubi oleh pihak tentera menyebabkan ramai daripada kami maut. Saya dan beberapa rakan bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan akhirnya sampai di Malaysia,” katanya.

Beliau seterusnya mempelajari pembacaan al-Quran di Kelantan menerusi beberapa pondok agama dan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Yayasan Islam Terengganu dari 2005 hingga 2014.

Pada awal tahun ini, beliau pulang ke Kemboja untuk menaburkan bakti kepada anak-anak tempatan.

Semoga Allah merahmati beliau. Amin..

Mahathir "Bergaduh" Dengan Rosmah? Tonton video di SINI

Sumber : Utusan