#Pray4Sabah : Satu Lagi Gempa Bumi Berlaku Di Sabah



TEPAT jam 2.29 pagi tadi, satu gempa bumi berukuran 5.1 magnitud dilaporkan berlaku di Ranau.
Tapi, gempa terbaru ini dikatakan adalah yang terkuat selepas gegaran pertama, pada 5 Jun lalu, sehinggakan terasa di Kota Kinabalu, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Ranau.

Ikuti perasaan dan pengalaman wartawan Ardyhansah Amat yang mendiami pangsapuri bertingkat di Kota Kinabalu.

"Ketika kejadian, saya sendiri terjaga daripada tidur apabila merasakan rumah bergoyang selain bunyi cermin tingkap yang bergetar akibat gegaran tersebut.


"Awalnya saya menganggap mungkin ia hanya perasaan sendiri ataupun fobia memandangkan kerap merasai gegaran ketika bertugas beberapa hari di Kundasang bagi melaporkan kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu, minggu lalu.

"Bagaimanapun, selepas melihat beberapa rakan memuat naik status di laman sosial Facebook selain menerima laporan gegaran turut dirasai pelajar Universiti Malaysia Sabah, saya yakin gempa bumi berlaku."

Difahamkan, sehingga 2.45 pagi tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima 12 panggilan kecemasan berhubung perkara itu.


Penduduk hanya dilihat meninggalkan kediaman untuk mencari tempat selamat. Tetapi ada yang pulang tidak lama kemudian apabila keadaan nampak kian reda. -Metro