Hukum Membayar ZAKAT PENDAPATAN Melalui Potongan Gaji


Hukum Membayar ZAKAT PENDAPATAN Melalui Potongan Gaji Zakat dari segi bahasa bererti bersih, suci, subur, berkat dan berkembang. Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.
Pendapatan bermaksud perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti pendapatan ahli profesional.
Gaji bulanan diistilahkan dalam fiqh zakat sebagai ‘mal mustafad’ iaitu harta yang baru diperolehi oleh seseorang Muslim melalui apa-apa cara atau kaedah perolehan. Menurut sebahagian ulama seperti ‘Abdullah bin ‘Abbas, ‘Abdullah bin Mas’ud, Mu’awiyah, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, Hasan al-Basri, al-Zuhri, dan al-Awza’i; ‘mal mustafad’ wajib dikeluarkan zakat jika cukup nisab tanpa disyaratkan cukup haul. Ini disebabkan, hadis yang mensyaratkan cukup haul bagi zakat ‘mal mustafad’ semuanya berstatus da’if
Zakat pendapatan merupakan salah satu jenis zakat yang dikemukakan oleh ijtihad ulama semasa. Antara ulama yang mencetuskan ijtihad zakat pendapatan ialah Syeikh ‘Abdul Rahman Hasan, Muhammad Abu Zahrah, dan ‘Abdul Wahhab Khallaf
Apakah hukum membayar zakat pendapatan terutamanya melalui potongan gajisetiap bulan?
“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”(Surah Al Baqarah : 267)
Hukum Membayar Zakat Pendapatan
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 telah membincangkan Zakat Gaji & Pendapatan Professional.

Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 May 2003 juga telah membincangkan Hukum Zakat Gaji Beserta Kadarnya. Muzakarah telah memutuskan bahawa asas pengiraan zakat gaji dan pendapatan adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut.

Oleh itu, amalan potongan zakat pendapatan melalui potongan gaji bulanan adalah tidak bercanggah dengan hukum Syarak. Ia diterima sebagai salah satu kaedah membayar zakat pendapatan.

SUMBER : E FATWA | ZAKAT SELANGOR

0 comment... add one now