Pihak berkuasa majlis perbandaran di ibu negara Kazakhstan pada Rabu melancarkan satu siasatan terperinci susulan penemuan ribuan pokok ganja hidup subur menghiasi kawasan hijau di pusat bandar raya itu.
Terdahulu, penduduk tempatan di Astana, menyedari bau-bauan aroma luar biasa ketika mereka berjalan di Auezova Street sehingga menyebabkan ramai mengadu pening kepala selain berkhayal macam penagih dadah.
Keadaan itu mengakibatkan ramai memaklumkan kepada pihak berkuasa majlis tempatan dan akhirnya setelah disiasat pegawai bahagian landskap, baharulah diketahui tanaman hiasan terbabit sebenarnya ialah marijuana!
Majlis bandar raya Astana segera mengarahkan penyiasatan dilakukan ekoran penemuan amat mengejutkan itu yang menyaksikan sepanjang jalan utama tersebut ditanam ribuan spesies kanabis yang diharamkan.
Siasatan awal merumuskan pokok ganja berkenaan mungkin ditanam secara tidak sengaja oleh pekerja landskap majlis tempatan yang tidak tahu ia adalah tumbuhan narkotik atau memang ditanam sindiket dadah tertentu.
Seorang jurucakap firma kontraktor perkhidmatan tanaman bandar, Zelenstroy yang mendapat tender landskap oleh majlis tempatan berkata, mereka turut menjalankan siasatan dalaman terhadap semua pekerja terlibat.
“Jika benar itu memang sah ganja, kami tidak teragak-agak membuang tumbuhan marijuana tersebut dengan segera dan digantikan kepada pokok hiasan lain,” tegas jurucakap berkenaan dalam satu kenyataan media.
Seorang penduduk awam, Mihail Malorod yang merupakan individu pertama menyedari pokok narkotik itu mendakwa, tanaman spesies kanabis itu juga ditanam subur di sepanjang bahu laluan Dzhangeldina Street. Sumber: thehypemedia