4 Penyakit Kanak-Kanak Ini Boleh Dirawat Tanpa Ubat

Apabila anak jatuh sakit, seleranya berkurangan sedangkan makanan yang berzat penting bagi membolehkan si dia sembuh sedia kala.

Penyakit-penyakit seperti demam, batuk, selesema,sakit tekak, sakit perut dan lain-lain biasanya membuatkan anak-anak mengalami masalah muntah atau cirit birit sehingga hilang selera makan.



Dapatkan nasihat doktor sebelum makan apa-apa ubat

Tambahan pula ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor kadang-kala turut menyebabkan mereka kerap muntah. Walau bagaimana pun, untuk menjamin tahap kesihatan si anak tidak terus terjejas kerana sakit yang dialami, ibu bapa perlu berusaha untuk terus memberinya makanan berkhasiat.
Oleh yang demikian, anda perlu melakukan sedikit pengubahsuaian corak pemakanan sehinggalah anak-anak kembali sihat.

Penyakit kanak-kanak dan panduan pemakanan

1. Demam



Penyakit demam terjadi apabila jangkitan virus yang biasa terjadi di kalangan kanak-kanak akan menyebabkan mereka demam dan kurang berselera untuk makan makanan pejal atau keras. Hal ini biasanya berlaku pada hari pertama atau kedua.

Namun, jika anak mula mengeluh kelaparan, anda bolehlah memberinya makanan berasakan sup seperti bubur nasi yang dimasak bersama sup ayam, ikan atau daging. Sewaktu demam, anak-anak akan turut kehilangan banyak cecair daripada tubuhnya. Keadaan ini dapat dipantau menerusi pembuangan air kecilnya di mana urin biasanya berwarna kuning pekat.

Oleh itu, sangat penting untuk anak-anak anda untuk minum lebih banyak air seperti jus oren segar atau air barli. Minuman yang diberi perlulah mengikut kemampuannya. Jika terlalu dipaksa, dia mungkin akan muntah. Anda juga digalakkan untuk memberikannya minum sedikit demi sedikit tetapi lakukan dengan kerap.

2. Cirit birit

Kekeringan yang dialami oleh bayi kesan daripada masalah cirit birit boleh mendatangkan kebimbangan. Jika dia kelihatan letih, bernafas kencang atau pun darah atau nanah kelihatan di dalam najisnya, maka anada perlu membawanya mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.

Cirit birit yang menyerang bayi biasanya disebabkan oleh kuman virus dan boleh dirawat dengan hanya memberinya minuman larutan gula bersama garam.

Jika bayi anda menyusu badan, teruskan penyusuan seperti biasa. Jika dia minum susu formula, susunya perlu dicairkan. Bagi kanak-kanak yang berumur dua tahun ke atas pula, dia bolehlah diberi minuman seperti jus buah-buahan segar. Jika anak anda merengek kelaparan, berikannya bubur nasi yang dicampurkan bersama dengan ayam, daging ataupun ikan di samping sayur-sayuran.

3. Sakit tekak



Apabila si kecil mengalami sakit tekak, tentu sahaja dia akan berasa sakit setiap kali menelan sesuatu jenis makanan. Anak anda boleh diberikan minuman yang sejuk seperti ais krim bagi mengatasi penyakit ini. Ais krim biasanya digemari oleh kanak-kanak yang mengalami penyakit ini, namun pengambilan yang berlebihan juga tidak elok untuk kesihatan mereka.

Ibu bapa perlu mengawal kuantiti ais krim yang diambil oleh anak-anak.Tekak mereka akan berasa selesa dengan minuman yang sejuk. Masalah sakit tekak kebiasaannya akan beransur pulih dalam tempoh beberapa hari. Jadi, menu pemakanannya yang biasa boleh diberi secara beransur-ansur mengikut keadaan semasanya. Elakkan memberi makanan yang terlalu panas kepada anak-anak anda kerana, makanan yang panas boleh memundaratkan lagi keadaan tekak mereka yang sedia kala sakit.

4. Batuk selsema


Kanak-kanak yang menghidap penyakit batuk selesema akibat kuman virus semestinya akan mengalami masalah kurang selera makan. Keadaan sebegini tidak akan memberi apa-apa kesan jika anda tidak memujuknya untuk makan.

Gunakanlah kesempatan yang ada dengan menyediakan makanan kegemaran anak. Namun, pastikan makanan yang disediakan adalah sihat dan berkhasiat agar tahap kesihatannya dapat dipulihkan dalam tempoh yang singkat.

Kurangkan memberi anak-anak anda makan makanan yang berminyak . Anda juga boleh memberikan anak-anak makan madu dan lebihkan makan buah-buahan yang mengandungi vitamin C seperti buah oren untuk melegakan batuk dan selesema di samping mengambil ubat-ubatan yang di sarankan oleh doktor.

Akhir kata


Bukan mudah untuk tangani anak-anak yang jatuh sakit, dan bukan juga mudah untuk memberi anak-anak makan ubat kerana mereka sering kali akan memuntahkan kembali ubat yang ditelan.

Bagi anak yang lebih berusia dan memahami kepentingan ubat untuk menyembuhkan penyakit, masalah ini lebih mudah ditangani. Namun, bagi si kecil yang tidak mahu berkerjasama, ubat-ubatan yang diberi oleh doktor mungkin perlu dicampurkan dengan minuman-minuman tertentu.

Disamping memberikan anak ubat, ibu bapa juga perlu memastikan pemakanan yang sihat dan berkhasiat diberikan kepada anak-anak agar kesihatan anak tidak terus terjejas ekoran daripada sakit yang dialami oleh mereka. - SirapLimau

0 comment... add one now