Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam bahagia.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kalian kerana masih sudi meluangkan masa untuk membaca rencana saya yang tidak seberapa ini, meskipun saya telah menghina dan memperlekehkan agama Islam banyak kali berturut-turut. Kehadiran saudara/saudari di halaman ini membuktikan bahawa: 1) anda mempunyai minda yang lebih terbuka daripada 99% umat Islam di Malaysia, dan 2) hati nurani anda masih sudi memberikan peluang kepada saya untuk mengemukakan penjelasan saya.
Untuk kalian yang tidak mengenali saya, nama saya Alvin Tan. Saya seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina yang menetap di Los Angeles, California, Amerika Syarikat. Beberapa hari yang sudah, saya telah memuatnaik di halaman Facebook saya sekeping gambar yang memaparkan perbuatan saya mengelap punggung saya dengan helaian muka surat Al-Quran selepas membuang air besar. Selepas itu, saya dengan bangganya menunjukkan helaian muka surat tersebut yang telah dicomotkan dengan najis saya:
Tindakan saya mendapat kecaman yang hebat bukan sahaja daripada para umat Islam Malaysia tetapi juga daripada golongan masyarakat yang tidak beragama Islam. Pos tersebut telah dikongsi lebih daripada 21,000 kali, menerima lebih daripada 20,000 komen, dan juga disukai (Liked) oleh kira-kira 8,000 orang. Biasalah, tatkala agama Islam dihina dan dicaci sedemikian rupa di rangkaian internet, umat Islam Malaysia sekalian pada lumrahnya akan cepat naik darah dan berpusu-pusu menuju ke halaman Facebook saya untuk menunjukkan sifat kewiraan masing-masing dengan semangat berkobar-kobar, laksana seorang pendekar mempertahankan ibu pertiwinya. Kebanyakan umat Islam yang hadir memaki hamun dan mencarut serupa hilang akal menggunakan perkataan-perkataan kesat yang mampu mengalahkan mulut syaitan, malah ada segelintir juga yang bukan sahaja mengeluarkan ugutan bunuh terhadap saya malah juga terhadap keluarga saya yang masih tinggal di Malaysia.
Dalam pada itu, sebahagian daripada umat Islam yang lebih tenang dan rasional bertanyakan saya, “Mengapakah kamu berbuat demikian? Apakah sebab dan tujuan kamu menghina Al-Quran dan agama Islam, sekaligus mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia?” Saya telah mengambil beberapa hari untuk mempertimbangkan soalan ini sehingga ke akar umbinya, iaitu intipati hati saya, bukan otak saya. Apakah sebab-sebab yang mendorong saya berkelakuan sedemikian jahat? Adakah saya ini begitu mendahagakan perhatian dan kasih sayang, sehingga sanggup menggadaikan maruah diri malah mempertaruhkan keselamatan diri dan keluarga untuk sesuatu perbuatan yang langsung tidak bermanfaat?
Selepas merenungkan motif saya, kesimpulannya, ada beberapa sebab yang mendorong perbuatan saya:
1. Saya ingin mendedahkan mentaliti mundur masyarakat Malaysia yang tidak dapat menerima kritikan dan tidak reti memberikan respons yang wajar terhadap unsur-unsur kontroversi.
Di dalam dunia ini, semua manusia mempunyai pendapat dan pandangan yang berlainan. Bak kata pepatah Melayu, banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Perangai seseorang apabila berlakunya percanggahan idea atau pandangan hanyalah mencerminkan kematangan emosi orang tersebut. Maka apabila majoriti besar rakyat Malaysia yang terdiri daripada orang Islam dan orang bukan Islam memilih respons yang mudah, iaitu marah, mencarut, dan mengugut bunuh, dan bukan respons yang lebih matang, iaitu memberi nasihat atau pun terus membiarkan pos saya, saya amat berdukacita, kerana saya tahu bahawa masyarakat yang bertamadun tidak mungkin membalas dengan respons yang berlandaskan emosi, tetapi respons yang berpaksikan rasionaliti. Sesungguhnya Malaysia masih merupakan negara dunia ketiga jika dilihat dari sudut pemikiran masyarakatnya.
Pemimpin-pemimpin negara kita gemar menggembar-gemburkan Wawasan 2020, iaitu laungan dan janji kemegahan untuk membina negara Malaysia agar menjadi sebuah negara maju jaya setaraf negara-negara Eropah dan Amerika menjelang tahun 2020. Namun, pernahkah kita berhenti sejenak dan memikirkan apakah ciri utama sesebuah negara maju? Adakah ciri itu pendapatan dalam negeri (GDP) yang tinggi, seperti Hong Kong? Adakah ciri itu bangunan pencakar langit, teknologi moden, atau pun lapangan terbang bertaraf antarabangsa, seperti Dubai? Atau adakah ciri itu industri tertier (contohnya perkhidmatan kewangan, insurans, dan pelaburan) yang berkembang pesat, seperti Singapura?
Pada pendapat saya, tidak sama sekali. Ciri utama yang melambangkan kemajuan sesebuah negara ialah mentaliti ataupun corak pemikiran masyarakatnya.
Apalah gunanya sekiranya kita mempunyai segala kekayaan di dunia dan bermacam-macam bentuk teknologi moden, industri pesat, dan institut pengajian tinggi terkemuka, tetapi masyarakat kita masih berfikiran sempit, kolot, dan tidak dapat menerima sebarang pandangan yang berbeza? Mentaliti masyarakat kita amat penting sekali, kerana mentaliti kitalah yang merupakan kuasa dorongan utama yang memandu perangai kita sebagai sesebuah tamadun: dalam pemilihan parti politik, dalam cara kita mengasuh anak, dalam cara kita berinteraksi dengan negara atau rakyat asing, dalam cara kita melayan dan membantu golongan yang kurang bernasib baik, dan sebagainya.
Selagi kita tidak menyedari dan menerima kelemahan kita, selagi itulah kita tidak mungkin dapat memajukan diri. Selagi kita tidak dapat memajukan diri sebagai individu, selagi itulah kita tidak dapat memajukan diri sebagai sebuah masyarakat madani. Usaha dan ketekunan tidak berguna langsung selagi kita belum tahu dan kaji aspek-aspek yang harus kita perbaiki. Sebelum kita mengerah tenaga untuk mencapai sesuatu matlamat, kita perlulah memastikan bahawa kita sedang matlamat yang betul, sahih, dan berbaloi.
Matlamat utama untuk rakyat Malaysia adalah untuk mengadakan suatu anjakan paradigma agar: 1) kita mampu berfikiran secara rasional dan bukan secara beremosi, tidak kira apa jua keadaan, dan 2) kita sudi membuka minda kita terhadap idea-idea yang kita tidak sukai, kerana kritikanlah yang sering menjadi bahan utama untuk kita memperbaik sahsiah dan keperibadian diri sendiri. Selagi matlamat tersebut tidak tercapai, selagi itulah negara kita hanya akan acah-acah maju seperti negara-negara Timur Tengah yang hanya mencapai kemajuan luaran dari segi kekayaan tetapi bukan kemajuan dalaman dari segi ilmu, budaya, dan mentaliti.
2. Saya beria-ia memperjuangkan hak kebebasan bersuara di Malaysia.
Adakah penghinaan agama itu suatu bentuk kebebasan suara? Apakah definisi kebebasan bersuara sebenarnya? Maksud kebebasan bersuara mudah sekali jikalau didefinisikan dari sudut perundangan – kebebasan bersuara ialah hak kita sebagai rakyat untuk menyuarakan apa-apa pendapat sahaja tanpa diberkas, didakwa, atau diambil sebarang tindakan undang-undang oleh pihak kerajaan. Hak kebebasan bersuara ini tidak wujud untuk kita menyuarakan pendapat yang manis dan disukai ramai. Sebaliknya, hak kebebasan bersuara ini wujud supaya kita mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat yang kontroversial dan yang berkemungkinan menimbulkan kemarahan segelintir dalam masyarakat. Hak ini amat mustahak di negara-negara barat, kerana, tanpa sesuatu persekitaran di mana idea-idea dan pendapat-pendapat baru dapat saling ditukar antara satu sama lain dengan selamat, negara-negara tersebut tidak mungkin maju, terutamanya dalam industri seni, muzik, perfileman, dan pendidikan.
Sebuah negara kecil seperti Korea Selatan amat kaya dan dihormati negara-negara sedunia kerana Korea Selatan mempunyai bidang muzik dan perfileman yang amat pesat dan diikuti orang-orang bukan Korea di seluruh pelosok dunia. Fenomena ini dinamakan pengeksportan budaya (cultural export), yang memberikan sesebuah negara itu kuasa lembut (soft power) di persada dunia. Pengeksportan budaya tidak mungkin berlaku sekiranya bidang seni, muzik, dan perfileman negara masih dibelenggui penapisan dan campur tangan politik. Amerika Syarikat merupakan negara yang paling maju di dunia ini bukan sahaja kerana kekuatan ketenteraannya tetapi juga kerana pengeksportan budayanya ke seluruh pelosok dunia melalui Hollywood, Silicon Valley, jenama-jenama seperti McDonald’s dan Nike, dan seumpamanya.
Namun kita sedia maklum bahawa hak kebebasan bersuara mutlak tidak wujud di Malaysia, mahupun di Amerika Syarikat sekalipun. Yang saya tahu ialah hak kebebasan bersuara di Malaysia kini kian hari kian disekat oleh kerajaan Barisan Nasional untuk kepentingan politiknya sendiri. Pemimpin-pemimpin negara kita sering kali mengingatkan kita bahawa topic bangsa dan agama itu sensitif dan kita tidak dibenarkan mempersoalkannya. Sekiranya ianya dipersoal, kononnya rusuhan kaum dan huru-hara akan menjadi akibat.
Saya ingin membuktikan bahawa, tidak kira berapa banyak kontroversi yang saya cetuskan sekalipun, negara kita ini tetap aman, tenteram, dan berkembang moden. Sekeping gambar yang dikongsi di internet, tidak kira betapa serius tahap penghinaannya sekalipun, tidak mungkin mendesak orang ramai agar merusuh, membunuh, dan merosakkan harta benda awam, melainkan kita semua kurang siuman. Sesungguhnya saya telah membuktikan banyak kali bahawa ahli-ahli politik hanyalah gemar menakut-nakutkan rakyat kita dengan gambaran porak-peranda demi kepentingan politik masing-masing. Proses ini dinamakandesensitization dalam Bahasa Inggeris, di mana mentaliti kita bertambah matang kerana penghinaan sebegini begitu kerap sekali berlaku sehingga kita sudah menjadi jemu dan tidak larat naik marah lagi.
Dan memang inilah akibatnya, kerana kini telah wujud satu gerakan untuk tidak melayani karenah internet saya lagi. Tanpa disedari, rakyat Malaysia telah memupuk dan memelihara semangat kebebasan bersuara natijah daripada perbuatan saya yang tidak bertanggungjawab. Syabas saudara-saudari sekalian!
3. Akhirnya, saya mahu membuktikan bahawa Islam itu tidak mungkin goyah atau tercaci dengan hinaan apa bentuk sekalipun daripada golongan kafir, malah Islam tetap akan kekal sempurna, kukuh, dan mulia.
Kita sedia maklum bahawa Islam ialah agama yang dianuti hampir 2 bilion orang di seluruh pelosok dunia, dan nombor ini semakin hari semaking meningkat dengan pesatnya. Adakah pandangan serong saya – seorang kafir laknatullah yang bakal menjadi bahan bakar di akhirat nanti – terhadap Islam relevan, malah mampu melemahkan Islam? Jawapannya tidak sama sekali. Seorang individu yang tidak bernama, berharta, mahupun berkuasa tidak mungkin dapat melawan hampir 2 bilion penganut tegar Islam.
Yang mampu melemahkan Islam hanyalah kelakuan pengikut-pengikutnya. Perangai saya yang menggadaikan maruah sendiri dan memperlekehkan agama orang lain tidak sama sekali mencerminkan Islam, kerana saya bukan beragama Islam – saya hanya memalukan diri, keluarga, dan bangsa saya sendiri. Namun apabila orang-orang yang membawa nama Islam dalam kad pengenalan ini memaki hamun, mengeji, menghina, mengugut bunuh, dan secara rumusannya hanya mampu mempertahankan agama mereka dengan “fuck you,” orang bukan Islam hanya boleh membuat kesimpulan bahawa Islam mengajar umatnya berperangai sedemikian, biarpun segala itu tidak tertulis sekalipun dalam Al-Quran mahupun hadis-hadis.
Hal yang paling mengecewakan ialah umat-umat Islam di negara kita sudah buta. Mereka tidak dapat membezakan antara hukum-hakam Islam yang termaktub dalam Al-Quran dengan proses Arabisasi yang kian hari kian mencengkam negara kita. Adakah Islam mengajar bahawa hukum-hakam Islam mesti dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan, misalnya dalam bentuk fatwa daripada jabatan agama Islam yang acah-acah Tuhan? Adakah Islam itu terhina apabila atlet negara kita tidak menutup aurat apabila melakukan aktiviti sukan intensif? Bukankah kelakuan memerli dan memulaukan kaum hawa yang enggan memakai hijab itu suatu bentuk penindasan golongan wanita yang rata-ratanya hanya berlaku di negara Arab (satu lagi kesan Arabisasi) malah juga merupakan suatu pengikisan budaya Melayu tradisional, di mana kaum wanita dibenarkan mendedahkan rambut tanpa perlu dipersoalkan akidah mereka? Bukankah Islam itu lebih terhina oleh perbuatan umat-umatnya yang berjudi, meminum alcohol, berkhalwat, melakukan sumbang mahram, merogol, merompak, dan mencuri duit rakyat sampai berbilion-bilion Ringgit?
Renung-renungkanlah… Sesungguhnya hanya umat-umat Islam sendiri yang mampu menurunkan martabat Islam di persada dunia. Yang anehnya ialah, walaupun umat Islam mampu melahirkan rasa marah terhadap perbuatan saya untuk menampilkan kejaguhan masing-masing, umat Islam diam membisu seribu bahasa apabila terbaca laporan mengenai pembunuhan, perogolan, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa oleh parti politik, semua perbuatan yang jauh lebih jahat daripada gambar saya.
Kesimpulannya
Adakah saya menyesali perbuatan saya? Ya, kerana natijah daripada berpuluh malah beratus ribu umat Islam yang melaporkan halaman Facebook saya, halaman tersebut akhirnya telah ditutup oleh pihak Facebook. Maka hilanglah serta-merta hampir 88,000 pengikut saya berserta dengan beratus-ratus rencana dalam Bahasa Inggeris dan bahasa kebangsaan yang telah saya nukilkan dengan bertungkus-lumus untuk satu tahun. Tidak seorang pun yang sempat menghayati karya penulisan saya yang normal dan tidak berunsur kontroversi, melainkan sekumpulan kecil pengikut tegar saya. Tambahan lagi, halaman Facebook tersebut merupakan tapak pergaulan sebuah komuniti kecil yang telah banyak membantu saya mengharungi kehidupan saya yang perit semasa baru-baru sahaja tiba di Los Angeles tanpa duit atau saudara-mara mahupun seorang kawan.
Semenjak hari itu, saya makan tidak lalu, tidur tidak lena, malah mandi pun tidak basah, tetapi saya menerima akibat itu, kerana punca berlakunya semua itu ialah perbuatan bodoh saya. Meskipun tidak diterima, saya di sini dengan tulus ikhlasnya memohon ampun kepada seluruh masyarakat Malaysia kerana perbuatan saya yang mencaci agama.
Sesungguhnya maruah dan keperibadian kita tidak terkompromisi apabila memberikan keampunan kepada orang lain, malah iman dan pahala kita akan bertambah kuat. Wallahualam.
Yang benar,
Alvin Tan