Kerana Enggan Mengambil Vaksin, Kini Malaysia Diancam Jangkitan Difteria


Pada awal November 2015, satu kes difteria dilaporkan berlaku di Kampung Bukit Malut, Langkawi, Kedah. Kes berumur lapan (8) tahun dan tidak menerima imunisasi difteria. Beliau meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan. Semua kontak rapat diperiksa dan didapati hanya seorang (1) dengan gejala yang disahkan dijangkiti difteria. Kedah juga pernah melaporkan satu kes kematian difteria yang berlaku di Kampung Bikan, Kulim pada Disember 2014. Kes ini tidak mendapat suntikan lengkap imunisasi difteria.

Apa Itu Penyakit Difteria, Punca, Gejala Dan Rawatannya?


Sebab Jangkitan Difteria

Difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheria. Ia tersebar melalui titisan cecair pernafasan. Bakteria ini akan menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas. Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis).

Imuniasasi / Vaksin Untuk Diphtheria

Sejak pelalian difteria dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan pada tahun 1972, kejadian penyakit difteria telah menurun dengan sangat drastik. Dalam tempoh lima (5) tahun kebelakangan ini, bilangan kes difteria yang paling tinggi di Malaysia adalah pada tahun 2013, iaitu empat (4) kes termasuk dua (2) kematian dilaporkan dengan kadar insiden 0.01 per 100,000 penduduk.

Pada masa kini, imunisasi difteria terkandung dalam vaksin lima (5) serangkai, DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenza Type B). Ia diberikan pada umur 2, 3 dan 5 bulan sebagai prime dose (dos utama) dan 18 bulan sebagai dos tambahan. Liputan imunisasi yang melebihi 95% dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan.


Cara Rawatan Diphtheria

Di Malaysia, pesakit yang disyaki difteria akan diberi antitoksin dengan segera tanpa menunggu keputusan ujian makmal kerana sebaran toksin ke seluruh tubuh boleh mengancam nyawa. Lazimnya seorang kes difteria memerlukan tujuh (7) hingga lapan (8) vial antitoksin dengan kos RM500 per vial; berbanding dengan kos vaksin hanya RM34 satu dos dan dapat melindungi daripada lima (5) jenis penyakit.

Kadar Kematian Jangkitan Diphtheria

Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi. Ia menunjukkan betapa bahayanya penyakit ini dan betapa mustahaknya kanak-kanak diberi imunisasi difteria. Justeru, ibubapa disarankan untuk memastikan anak mereka telah mendapat imunisasi lima (5) serangkai prime dos yang lengkap. Tindakan bijak kita akan menyelamatkan anak-anak daripada komplikasi jangkitan difteria ini.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
5 Januari 2016

0 comment... add one now