Lagi Mangsa Buli Meninggal Dunia

AHLI keluarga menenangkan D Shanti atas kehilangan anak lelaki tunggalnya T Nhaveen yang meninggal dunia selepas berada dalam peringkat koma sejak Sabtu, di Hospital Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Selepas enam hari bertarung nyawa dan mengalami keadaan otak mati, mangsa kes buli, T Nhaveen, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, petang tadi.

Nhaveen, 19, yang koma sejak dimasukkan ke HPP Sabtu lalu, dilaporkan meninggal dunia pada jam 6 petang akibat kecederaan parah termasuk mengalami kesan koyakan pada di dubur akibat ditusuk objek tumpul.

Dalam kejadian di Taman Tun Sardon, Gelugor, pada jam 2 pagi itu, Nhaveen dan seorang rakannya, T Perviin, 19, dipukul lima lelaki yang juga bekas rakan sekolahnya berusia antara 16 hingga 18 tahun selepas berlaku perang mulut antara mereka.

Bagaimanapun, Perviin sempat melarikan diri sebelum Narvheen diseret ke kawasan padang dan dipukul menggunakan topi keledar, dibakar pada bahagian bahu dan duburnya ditusuk objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Osman, mengesahkan mangsa meninggal dunia di HPP dan kes berkenaan dijangka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now