6 Cara Ini Mama Boleh Amalkan Supaya Bayi Bebas Jaundis. Tip Nombor 4 Menarik Untuk Digunapakai




Sekiranya anak yang baru lahir mengalami jaundis, apa yang perlu anda lakukan ialah menyusukannya sekerap yang boleh. Sebaik-baiknya susukan dia setiap dua jam sekali.


Bayi yang mengalami jaundis memang akan tidur dalam jangka masa yang lama. Oleh sebab itulah ia sering disalah anggap. Ramai mengatakan bayi tidak banyak meragam dan baik.


Sedangkan itu adalah salah satu daripada petunjuk bahawa bayi mengalami jaundis. Sekiranya bayi tidak dikejutkan untuk menyusu dengan kerap, bilirubin di dalam hatinya tidak dapat disingkirkan melalui air kencing dan najis dengan sempurna. Oleh yang demikian, usahakan pelbagai cara untuk kejutkan bayi supaya menyusu susu ibu.


Selain daripada pemberian susu ibu secara kerap, ada beberapa lagi petua orang tua-tua yang boleh anda lakukan dalam usaha membantu bayi bebas daripada jaundis yang dialaminya itu.


Walau bagaimanapun, anda diingatkan untuk sama sekali tidak mencuba apa-apa jua petua yang memerlukan sesuatu dimasukkan ke dalam mulut bayi. Anda perlu faham bahawa organ-organ dalam bayi masih belum matang. Jadi, bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam mulutnya selain daripada susu mungkin boleh mendatangkan kemudaratan buat dirinya untuk jangka masa pendek mahupun panjang.


1. Jika memilih untuk menjemur bayi, lakukannya pada awal pagi sekitar jam 7.30 pagi hingga 9.00pagi. Elakkan menjemurnya secara langsung di bawah pancaran matahari. Cukup sekadar anda duduk di anjung (porch) atau membuka tingkap dengan luas dan kenakan bayi pada cahaya matahari yang samar.


2. Ibu perlu mengambil madu dan makan kurma setiap hari. Jangan pula berikan ia kepada bayi. Pemberian susu ibu kepada bayi dapat menyalurkan manfaat makanan ini kepadanya.


3. Ibu disarankan untuk minum susu kambing segar. Namun pastikan susu ini dimasak dengan sempurna sebelum minum. Diingatkan sekali lagi, jangan titiskan susu kambing ini ke dalam mulut bayi.


4. Berikan susu ibu menggunakan picagari atau sudu. Cara ini boleh membantu bayi mendapatkan lebih banyak susu ibu. Maklum sahajalah daya hisapan bayi mengalami jaundis agak lemah. Tambahan pula, dia agak sukar untuk dikejutkan daripada tidur.


5. Ibu perlu kurangkan pengambilan kunyit, lada hitam, halia, bawang putih, rempah-ratus dan jamu kerana bahan ini bersifat panas dan boleh menyebabkan bilirubin tidak mampu disingkirkan daripada tubuh bayi dengan baik.


6. Rebus beberapa batang pokok dukung anak. Mandikan bayi dengan air rebusan ini dua kali sehari sehingga dia bebas daripada jaundis. Selain daripada itu, air mandian daripada daun belimbing buluh turut boleh digunakan.


Kredit : Majalah PaMa

0 comment... add one now