"Saya Takut Depa Main Ayaq (AIR) Sebab Ada Cikgu Nampak Ulaq (ULAR) Berkeliaran Di Sekolah", Tindakan Berani Cikgu Jasmani Ini Selamatkan 5 Nyawa Pelajar



Ramai netizen memuji tindakan seorang guru mengendong beberapa orang murid sekolahnya selepas sekolah tersebut dilanda banjir pagi tadi.

Farrah Norashikin Juhari, 35, guru pendidikan jasmani Sekolah Kebangsaan Haji Abu Bakar, Lepai, Alor Setar, Kedah berkata "saya takut depa main ayaq (air) sebab ada cikgu nampak ulaq (ular) berkeliaran di sekolah," yang gambarnya mengendong lima murid sekolah itu menjadi tular di media sosial, hari ini.  

Beliau juga berkata, pada 7.45 pagi sekolah berkenaan dilanda banjir kilat menyebabkan beberapa kelas Tahun Satu dan Dua dinaiki air menyebabkan mereka terpaksa ditempatkan di kelas tingkat atas.

“Bagaimanapun, beberapa murid mengatakan mereka tertinggal bekalan makanan dan wang dalam kelas menyebabkan saya risau sekiranya mereka dipatuk ular jika membenarkan mereka meredah air banjir.

“Saya kemudian menawarkan diri mengendong lima murid dari dewan tempat berkumpul ke kelas mereka yang hanya terletak puluhan meter saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Hampir semua daripada mereka adalah murid Tahun Satu dan sudah menjadi lumrah kanak-kanak seronok apabila melihat air banjir menyebabkan guru sekolah berkenaan membuat kawalan ketat, katanya.


“Ada beberapa murid Tahun Dua mengatakan malu dikendong saya, tetapi saya menerangkan keadaan ketika itu sudah darurat dan saya tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku terhadap mereka.

“Keadaan pagi tadi memang kalut, tetapi ini bukan kejadian pertama banjir kilat berlaku, setiap kali hujan lebat pasti terjadi bah,”
 kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Dia yang baru dipindahkan ke sekolah itu Januari lalu berkata, dia mengambil tanggungjawab berkenaan kerana sudah menjadi tugas seorang guru sentiasa melindungi anak didiknya.

“Saya tidak sangka gambar berkenaan menjadi tular kerana saya hanya laksanakan tanggungjawab sebagai seorang guru,” katanya.



Sumber : Harian Metro

0 comment... add one now