Penderma dari Timur Tengah memberi sumbangan AS$700 juta (RM2.6 bilion) kepada Datuk Seri Najib Razak supaya Umno boleh melawan DAP, yang dibiayai Yahudi, semasa Pilihan Raya Umum 2013, kata ketua bahagian Umno Datuk Abdul Aziz Kaprawi hari ini.
Ketua Umno Sri Gading itu berkata, penderma itu khuatir pengaruh Yahudi akan meresap di negara ini melalui DAP dan memusnahkan "Kerajaan Islam" yang diketuai Barisan Nasional ( BN).
"Kalau kita kalah, DAP akan berkuasa. DAP dengan dana Yahudinya akan mengawal negara ini. Berdasarkan perkara itu, rakan-rakan Islam kita di Timur Tengah dapat melihat ancaman Yahudi melalui DAP," kata Aziz yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan.
"Jika ia mencapai kepada kerajaan Islam ini, ia akan digulingkan, dan itu akan memusnahkan perjuangan Islam di seluruh dunia.
"Kerana Najib dilihat sebagai seorang pemimpin Islam yang hebat di rantau ini," kata Aziz kepada perwakilan pada mesyuarat bahagian beliau hari ini di Parit Raja, Johor.
Beliau melahirkan kehairanannya kenapa orang Melayu sendiri mempersoalkan derma itu, sedangkan amalan bersedekah kepada orang lain dianjurkan dalam Islam.
"Anda tidak pernah bagi derma? Ia memang digalakkan dalam Islam. Lebih banyak anda menderma, lebih banyak pahala anda dapat.
"Alhamdulillah, Najib, sebagai presiden parti, dia panglima perang yang dipilih untuk memastikan kita menang dalam pilihan raya."
Beliau menggesa orang Melayu supaya tidak terpedaya dengan "pembohongan" yang direka media asing, sambil menambah hanya Umno parti yang boleh menghalang Yahudi daripada mengambil alih negara ini melalui DAP.
"Percayalah cakap saya, kalau orang asing ini berjaya memecahkan kita, takda lagi parti Melayu yang cukup kuat untuk melawan DAP, yang berasaskan dan dibiayai orang Yahudi," katanya. – 22 Ogos, 2015.