Apakah Kaitan Antara Sihir Dan Kesihatan Mental Manusia?



SIHIR DAN KESIHATAN MENTAL | BLACK MAGIC AND MENTAL HEALTH

(Many a time I have been involved in discussions on black magic and its effects on mental and ill health. I believe that among my Muslim patients there are those afflicted by the influences of black magic and Satan's evil schemings. These conditions occur with the leave of God. During these tribulations mankind seek the succour and guidance of God. Manifestations of these influences in the victim may overlap with the signs and symptoms of psychiatric patients. Psychiatrists and psychologists are able to identify this overlap with training and humble discernment. The appraisal, diagnosis and management must be holistic with the four-domain bio-psycho-socio-spiritual approach).

1. MUKADIMAH
Banyak kali aku terlibat dalam perbincangan tentang sihir dan kesannya ke atas kesihatan dan penyakit mental. Aku percaya bahawa di kalangan pesakit-pesakit Muslimku ada yang dikesani oleh pengaruh sihir serta rancangan jahat syaitan. Keadaan ini berlaku dengan izin Tuhan. Semasa kesengsaraan inilah insan mencari bantuan dan hidayah Allah SWT. Manifestasi pengaruh-pengaruh ini pada mangsa boleh bertindih dengan tanda dan simptom pesakit psikiatri. Pakar-pakar psikiatri dan psikologi dapat mengenal pasti pertindihan ini dengan latihan serta kearifan bertawaduk. Penilaian, diagnosis dan pengurusan mestilah holistik dengan pendekatan empat domain bio-psiko-sosio-spiritual.

2. NAS QUR'AN DAN HADIS
i. Surah al-Baqarah 2 : 102-103 memberi penjelasan tentang sihir dan menegaskan bahawa manusia tidak boleh mencelakakan seseorang dengan sihir kecuali dengan izin Allah SWT;
ii. Surah Taha 20 : 66-69 menggambarkan bagaimana mukjizat Nabi Musa AS dapat mengalahkan sihir para penyihir dengan kehendak Allah SWT;
iii. Surah Sad 38 : 41-44 menjelaskan bagaimana Nabi Aiyub AS menyeru Tuhannya dengan berkata (maksudnya), "Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan penderitaan dan bencana..." dan penderitaannya termasuklah penyakit kulit yang dihidapinya;
iv. Beberapa Hadis sahih menjelaskan betapa bahayanya sihir kepada akidah tauhid dan ketenteraman masyarakat.

3. PENYIHIR DAN PENGIKUTNYA
i. Mereka yang mengamalkan sihir adalah golongan yang menuruti arahan syaitan;
ii. Secara langsung si penyihir berusaha menyesatkan manusia daripada jalan Allah SWT;

4. UJIAN HAYAT
i. Sebagai satu ujian dalam hayat insan, Allah SWT mengizinkan sihir untuk memberi kesan negatif dalam kehidupan insan;
ii. Hanya insan yang berlindung dengan Allah SWT yang selamat daripada gangguan sihir serta pengamal (penyihir dan pengikutnya) dan tuannya (syaitan yang direjam).

5. PENYAKIT MENTAL
i. Menurut klasifikasi penyakit mental yang diiktiraf * di dunia perubatan dan bidang psikologi, telah dikenal pasti sekitar 300 jenis dan subjenis kecelaruan mental;
ii. Dari sudut fizikal dan bio-fisiologi, penyakit mental adalah akibat perubahan serta ketidakseimbangan kimia dalam otak dan sistem saraf insan.

6. KESAN
i. Gangguan sihir dan syaitan boleh memberi kesan negatif kepada fungsi otak dan saraf;
ii. Tidak semua kecelaruan mental disebabkan oleh sihir.

7. PERTINDIHAN SIMPTOM
i. Beberapa simptom dan tanda penyakit mental bertindih dengan manifestasi gangguan sihir;
ii. Untuk mengenal pasti kesan sihir ke atas pesakit psikiatri, kerjasama antara dua kelompok berikut amat diperlukan, iaitu pertama, pengamal perubatan (khususnya pakar psikiatri) serta pakar psikologi; dan kedua, pengamal spiritual Muslim yang diiktiraf.

8. NON-HOLISTIK DAN HOLISTIK
Terdapat sekurang-kurangnya dua jenis pakar psikiatri dan psikologi Muslim:
i. Non-Holistik, iaitu mereka yang tidak melihat fenomena hayat secara keseluruhan lalu mengambil pendekatan tiga domain bio-psiko-sosial tanpa memberi perhatian kepada domain spiritual;
ii. Holistik, iaitu mereka yang melihat fenomena hayat secara keseluruhan lalu mengambil pendekatan empat domain bio-psiko-sosio-spiritual dan mengiktiraf fenomena kerohanian sebagai positif (contohnya, peranan amal salih yang mengukuhkan keimanan) atau negatif (contohnya, peranan sihir yang menyesat dan memusnahkan masyarakat).**

9. SIKAP
Terdapat sekurang-kurangnya dua sikap pakar psikiatri dan psikologi Muslim terhadap kesan sihir ke atas penyakit mental:
i. Pakar psikiatri dan psikologi yang tidak mempercayai sihir boleh menyebabkan seorang manusia menjadi pesakit mental lalu merawat pesakit mental dengan hanya pendekatan yang tidak holistik dan terhad kepada tiga domain bio-psiko-sosial tanpa memberi perhatian kepada domain spiritual;
ii. Pakar psikiatri dan psikologi yang mempercayai sihir boleh menyebabkan seorang manusia menjadi pesakit mental lalu merawat pesakit mental dengan pendekatan holistik empat domain bio-psiko-sosio-spiritual.

10. PENGENDALIAN
i. Rawatan holistik yang tidak mengabaikan mana-mana empat domain adalah penting;
ii. Ubat-ubatan yang diperlukan adalah penting di samping cara hidup yang seimbang dan holistik mestilah dihayati oleh pesakit sewaktu menjalani rawatan ataupun apabila sudah sembuh;
iii. Insan tidak boleh menyalahkan pengaruh sihir saja bagi kesemua penyakit mental.

11. PENUTUP
Pendekatan psikiatri dan psikologi Islam mengambil kira keempat-empat domain hayat dan tidak mengabaikan mana-mana aspeknya. Pengamal psikiatri dan pakar psikologi Islam mestilah mempelajari cara rawatan kerohanian Islam untuk memberi rawatan seimbang kepada pesakitnya. Ruqyah syar'iyyah yang asas amat penting dipelajari oleh semua perawat Islam (termasuk doktor-doktor Islam) untuk diamalkan dalam usaha merawat pesakit. Kesan sihir ke atas individu dan pesakit adalah realiti dalam perubatan klinikal Islam, walaupun ada pengamal perubatan Muslim yang meminggir dan menafikan hakikat ini.

* Dua jenis klasifikasi antarabangsa yang menjadi rujukan utama para profesional psikiatri dan psikologi ialah: i. The International Classification of Diseases, 10th Edition, World Health Organization, 1992 (ICD-10); dan ii. Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition, the American Psychiatric Association's (APA), 2013 (DSM-5). Di sini tidak dibincangkan kontroversinya serta kritikan yang boleh diberi tentang aspek budaya dan agama kecelaruan mental.

** Pengamal spiritual atau mana-mana perawat yang hanya memfokuskan rawatan kepada aspek kerohanian saja pun tidak holistik kerana tidak mengambil pendekatan holistik empat domain bio-psiko-sosio-spiritual.

24 Mac 2016 / 15 Jamadil Akhir 1437

0 comment... add one now