Habbatus sauda (black seed), jintan hitam atau apa sahaja nama baginya merupakan herba yang terkenal dan digunakan sejak zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam lagi. Ianya mengandungi pelbagai khasiat dan sering digunakan untuk tujuan perubatan. Hal ini diperkuatkan lagi dengan adanya hadith-hadith yang menyebutkan tentang kelebihan habatus sauda itu sendiri disisi Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.
Habbatus Sauda Memudaratkan Kesihatan
Saya kemudian ditanya oleh Doktor Rafidah daripada Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh yakni salah seorang ahli dalam team MedTweetMy berkenaan isu ini. Tulisan ini cuba untuk menjelaskan aspek hadith, maksud hadith menurut pandangan ulama’ silam dan menjernihkan salah faham yang berlaku.
Hadith yang paling masyhur dalam masyarakat berkaitan kelebihan habbatus sauda ialah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
فِي الْحَبَّةِ السَّوْدَاءِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَّا السَّامَ
“Pada habbatas sauda itu ada penawar/ubat bagi semua penyakit kecuali mati.” [Riwayat Al-Bukhari dalam Sahihnya, kitab Al-Tibb no. 5687; Riwayat Muslim no. 2215]
Dari sudut kesahihan hadith ini, maka tidak ada sebarang keraguan ianya memang hadith sahih. Maka inilah yang menjadi konflik bahkan mungkin “perang” antara masyarakat dan doktor. Bagi doktor, habbatus sauda boleh memberikan kemudharatan bagi beberapa jenis penyakit seperti buah pinggang dan sebagainya. Sedangkan disisi masyarakat pula, habbatus sauda merupakan antara ubat yang paling baik tambahan pula Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri mengatakan ianya penawar bagi segala penyakit. Tidak mungkin kita menolak perubatan Nubuwwah dan mengutamakan perubatan moden daripada apa yang Nabi amalkan sendiri.
Maka berlakulah perkara yang tidak elok yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat seperti label-melabel, merendahkan, memaki-hamun dan mengutuk doktor. Ada yang mengatakan doktor menolak hadith Nabi, doktor agen yahudi/kafir, doktor terpengaruh ilmu perubatan sains barat dan tidak arif perubatan Islam, doktor jahil dan sebagainya gelaran yang bagi saya tidak patut dilemparkan sebegitu.
Saya bukanlah ingin membela para doktor dan menentang perubatan Nubuwwah walaupun saya sebahagian daripada keluarga MedTweetMy. Tulisan ini untuk menjelaskan dari sudut Islam menurut pandangan ulama’ silam apakah maksud sebenar hadith itu agar kita semua jelas mengenainya dan mudah-mudahan tidak ada lagi perbalahan antara masyarakat dengan doktor.
Salah Faham Makna Hadith
Ya, inilah yang berlaku dalam masyarakat.Walaupun hadith itu sahih, namun kefahaman kita terhadap hadith itu belum tentu sahih. Salah faham terhadap makna hadith sering kali menjadi punca perbalahan bukan sahaja masyarakat awam malah golongan agama sendiri. Dalam hal ini, masyarakat awam tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana mereka sendiri tidak terdedah dengan syarahan ulama’ apatah lagi mengkaji perbahasan mengenainya. Tambahan pula, lafaz hadith itu sendiri menggunakan lafaz “ kullu daa’ ” (semua penyakit) maka sudah pasti bagi sesiapa yang memahami secara literal akan berpegang sedemikian rupa.
Mari kita lihat makna sebenar hadith ini dan perbahasan ulama’ mengenainya.
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (wafat 852H) berkata:
“Disebutkan bahawa sesungguhnya ucapan baginda “Seluruh penyakit” itu maksudnya ianya boleh dijadikan ubat dengannya (yakni habbatus sauda). Sesungguhnya ia bermanfaat bagi penyakit-penyakit sejuk sedangkan penyakit panas maka tidak (berkesan).”
[Fath Al-Bari 10/144]
Imam Ibn Jauzi (wafat 597H) berkata:
“Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa lafaz “kullu” (semua –penyakit-) disini ialah lafaz umum yang membawa makna khusus sebagaimana firman Allah (tentang burung yang berkata kepada Nabi Sulaiman) “Sesungguhnya aku mendapati seorang perempuan yang memerintah mereka dan telah diberikan kepadanya semua benda dan dia juga mempunya singgahsana/istana yang agung. ”[An-Naml:23]...” [Kasyf Al-Mushkil 3/364]
Ayat ini berkaitan seekor burung Hud-hud yang mengkhabarkan kepada Nabi Sulaiman tentang Ratu/Puteri Balqis di negara Saba'. Makna lafaz kullu (semua) dalam surah An-Naml tersebut bukanlah bermakna seluruh benda yang ada di dunia telah dimiliki oleh Raja Balqis sebaliknya ia bermaksud dia mempunyai kemewahan dunia yang diperlukannya untuk memerintah sesebuah kerajaan. [Tafsir Ibn Kathir 6/186]
Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya mengatakan bahawa lafaz kullu (semua) yang dimiliki oleh Puteri Balqis tersebut ialah lafaz mubalaghah iaitu semua yang diperlukannya sebagai pemerintah kerajaan.[Tafsir Al-Qurtubi 13/184]
Mubalaghah ialah lafaz hiperbola yakni ucapan kiasan yang yang berlebih-lebihan untuk memperoleh kesan tertentu [kamus dewan edisi-4]
Inilah yang dimaksudkan dengan lafaz umum tetapi membawa makna khusus. Ianya uslub lafaz yang dibincangkan dalam ilmu usul fiqh. Jika ingin memahami lebih lanjut mengenai lafaz sebegini, sila membaca karya-karya usul fiqh, insyaAllah.
Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit sejuk yang diucapkan oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqalani sebelumnya? Ianya bermaksud penyakit yang berkaitan dengan cuaca sejuk atau lembab yang mana sesuatu dirawat dengan habbatus sauda kerana sifatnya yang panas.
Imam Ibn Jauzi juga menyebutkan:
“Yang dimaksudkan dalam hadith itu ialah penawar/ubat bagi penyakit-penyakit berkaitan lembab, berkahak yang mana habbatus sauda’ itu sifatnya panas dan kering (berlawanan).” [Kasyf Al-Mushkil 3/364]
Begitulah yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi (wafat 676H) ketika membahaskan hadith ini bahawa habbatus sauda tidak sesuai pada penyakit tertentu seperti penyakit berkaitan sejuk. Katanya lagi:
“Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menggambarkan sebegini berdasarkan apa yang disaksikannya pada kebiasaan keadaan para sahabatnya radhiallahu ‘anhum” [Syarh An-Nawawi ‘ala Muslim 14/196]
Kesimpulan
Hadith ini merupakan hadith yang mengandungi lafaz umum namun maksudnya khas. Habbatus sauda sememangnya baik untuk menyembuhkan banyak penyakit namun bukanlah semua penyakit yang ada dimuka bumi ini. Semua penyakit yang dimaksudkan disitu ialah penyakit yang berlawanan sifatnya dengan habbatus sauda’ yakni sakit yang berkait dengan elemen sejuk seperti demam sejuk, selsema dan sebagainya. Itulah yang disebutkan oleh para ulama’ silam.
Adapun apa yang dikatakan oleh para doktor bahawa habbatus sauda mampu memberikan kesan/ menambah mudharat atau tidak sesuai dengan penyakit-penyakit tertentu, maka ianya bukanlah bertentangan dengan hadith diatas. Nasihat saya, ikutlah nasihat doktor pakar. Jika benar habbatus sauda tidak sesuai dengan penyakit yang dihidapi bahkan boleh memberikan mudharat, maka ianya bukan lagi sunnah yang diajarkan oleh Nabi kerana mengelak mudharat yang lebih besar itulah yang diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas radhiallahu ‘anhu:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
“Tidak boleh membuat bahaya dan menimbulkan bahaya” [Riwayat Ibn Majah no. 2430]
Ini juga bertepatan dengan kaedah syarak yang disebutkan oleh para usuliyyin:
در المفاسد مقدم على جلب المصالح
“Menghalang kerosakan didahulukan daripada mengambil maslahat”
كل سبب يفضي إلى الفساد نهى عنه إذا لم يكن فيه مصلحة راجحة
“Setiap sebab yang membawa kepada kerosakan dilarang daripadanya jika ianya tidak mempunyai maslahat yang kukuh.”
Wallahua’lam
_____________