Nampaknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim betul-betul mahu luaskan kuasa. Dalam satu temubual eksklusif bersama akhbar The Straits Times, Tunku Ismail sedang mengintai peluang untuk membeli kelab terkemuka Serie A, AC Milan.
“Saya merancang untuk membeli AC Milan tetapi kita tengok pada keadaan. Saya suka Milan dan sangat meminati kelab itu sejak kecil. Tetapi fokus utama saya tetap pada JDT dan jika saya melabur untuk kelab luar, sudah semestinya di AC Milan,” kata TMJ.
TMJ turut menambah semuanya masih lagi dalam fasa perbincangan. Milan yang ketika ini dimiliki oleh bekas perdana menteri Italy, Silvio Berlusconi memang sedang dalam usaha untuk menjual kelab itu. Berlusconi kini dikatakan sedang mempertimbangkan tawaran dari satu syarikat dari China bernilai 700 juta euro.
“Harap-harap kami dapat menjalinkan hubungan dengan Milan di masa hadapan. Sama ada ianya kolaborasi secara terus atau secara sumbangan kecil dari kelab tersebut,” TMJ menambah.
TMJ kini sedang dalam usaha untuk menjadikan JDT sebagai salah satu kelab yang digeruni dari Asia Tenggara, lebih-lebih lagi dengan kemudahan latihan terbaru yang dijangka menelan belanja RM15 juta dan stadium baru berkapasiti 40,000 tempat duduk.
Harap-harap semuanya dipermudahkan. Mana tahu ada anak Malaysia yang dapat bermain bersama AC Milan nanti. Salute dengan ambition TMJ ini. - TheVocket