Terkenal dengan ketabahan dan kehandalan beliau di gelanggang tinju – dan kemudiannya membuktikan bahawa beliau seorang yang mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi selepas 10 tahun bertarung dengan penyakit Parkinson, pemergian lagenda tinju dunia Muhammad Ali, 74, pada Khamis lalu pastinya dirasai oleh peminat di seluruh dunia termasuk pemimpin-pemimpin negara.
Bagaimanapun, disebalik kecekalan bintang tinju dan juara sukan tinju heavyweight dunia sebanyak tiga kali itu, terselit “satu kelemahan” selepas beberapa perkahwinan Allahyarham dengan tiga isterinya tidak bertahan lama.
Apabila bercakap soal cinta, Muhammad Ali dilihat agak ‘sibuk’ kerana beliau telah mendirikan rumah tangga sebanyak empat kali dan mempunyai sembilan anak.
Terbaharu, sekeping foto yang menunjukkan Muhammad Ali yang dilahirkan dengan nama Cassius Marcellus Clay, Jr bersama seorang wanita ketika berkunjung ke Malaysia pada tahun 1975 menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai.
Segelintir pihak membuat andaian bahawa kedatangan Allahyarham bertujuan untuk mengislamkan salah seorang isterinya di Rumah Sabah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang turut dihadiri beberapa orang saksi, namun sehingga kini tidak dapat disahkan oleh mana-mana pihak tentang identiti wanita tersebut dan kebenaran dakwaan berkenaan.
Memetik laporan Utusan Malaysia, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Abdul Hamid Egoh bagaimanapun telah mengesahkan bahawa Allahyarham memang datang ke negara ini pada tahun 1975 selepas menerima jemputan dari Ketua Menteri Sabah pertama, Allahyarham Tun Datu Mustapha Harun, dimana di dalam gambar tersebut menunjukkan Abdul hamid turut berada di majlis tersebut.
Berdasarkan laporan tersebut lagi, wanita berkenaan dilihat mengangkat jari telunjuk sambil disaksikan oleh bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman bersama Tun Datu Mustapha.
“Muhammad Ali bersama pengurusnya yang terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu menggunakan pesawat peribadi jenis Grumman milik Tun Mustapha.
“Itu merupakan kenangan manis saya bersama legenda tinju dunia itu ketika beliau datang ke negeri ini. Saya merupakan individu yang bertanggungjawab menjemput, menghantar dan mengiringi Allahyarham pulang ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu,” kata Abdul Hamid dipetik sebagai berkata yang ditugaskan menjemput, menghantar dan mengiringi Allahyarham pulang ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
Namun, Abdul Hamid memaklumkan beliau tidak mengetahui tujuan pertemuan tersebut, selain menyifatkan ia satu kenangan manis dapat bersama lagenda tinju itu.
Berdasarkan rekod, Muhammad Ali berkahwin dengan isteri pertamanya Sonji Roi (1964) (gambar) tetapi pasangan itu dikatakan berpisah kerana ketaatan Muhammad Ali kepada agama Islam yang disifatkan oleh Sonji telah ‘mencuri’ Muhammad Ali, lapor Telegraph.
Muhammad Ali kemudiannya berkahwin dengan isteri keduanya (gambar) Belinda Boyd (1967), namun pada masa yang sama mempunyai hubungan sulit dengan Veronica Porsche, sebelum bercerai dengan Belinda pada 1977 dan berkahwin dengan Porsche pada tahun sama.
Bagaimanapun, jodoh Muhammad Ali dan Porsche (gambar) tidak bertahan lama dan pasangan itu bercerai pada 1986, sebelum Muhammad Ali berkahwin dengan isterinya sekarang, Lonnie Williams Ali.
Berdasarkan laporan media juga, di antara keempat-empat isteri Allahyarham, hanya Belinda Boyd memeluk Islam dan menukar namanya kepada Khalilah Camacho-Ali. Namun, tidak dimaklumkan bila Khalilah mengambil keputusan untuk memeluk Islam selepas mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Ali pada 1967.
Berbalik kepada siapa wanita disebelah Muhammad Ali ketika berkunjung ke Malaysia, ada juga dakwaan mengatakan bahawa ia adalah majlis perkahwinan Allahyarham dan isterinya, namun tiada pihak yang dapat mengesahkannya.
Berdasarkan tinjauan Malaysian Digest, sepanjang tempoh 1967 (berkahwin dengan Khalilah) hingga 1975 (kehadiran Muhammad Ali ke Malaysia), pasangan tersebut telah dikurniakan empat orang anak iaitu Maryum (1968); Jamilah dan Rasheda (1970) dan Muhammad Ali, Jr (1972).
Beberapa persoalan disini boleh ditimbulkan sama ada wanita disebelah Allahyarham adalah Khalilah (yang telah memeluk Islam), atau wanita tersebut tiada kaitan dengan Muhammad Ali.
Namun, jika dibuat perbandingan gambar (dibawah) dari sisi pula, ia kelihatan mirip Porsche. Tetapi Porsche tidak dilaporkan memeluk Islam dan sekiranya ia majlis perkahwinan sekali pun, pada tahun 1975 Porshce masih belum berkahwin dengan Muhammad Ali.
Berikut perbandingan gambar wanita disebelah Allahyarham dengan isteri-isteri Muhammad Ali:
1 (Sonji Roi): 2 (Khalilah); 3 (Veronica Porsche); dan 4 (Lonnie Williams)
Ironinya, ia mungkin sukar untuk dirungkai dan konspirasi serta dakwaan berhubung gambar tersebut akan terus menjadi tanda tanya melainkan ‘seseorang’ boleh berkata dan bercerita benar mengenai gambar tersebut dan kejadiannya.
Walaubagaimanapun, ia hanyalah cebisan sejarah dalam hidup Allahyarham, yang mana perkara tersebut tidak perlu lagi dibangkitkan. Sebaliknya, kejayaan dan kehebatan “The Greatest” harus menjadi perkara utama untuk orang ramai mengenangnya, dan bukannya peristiwa lampau.
Dalam perkembangan lain, majlis peringatan terakhir buat Allahyarham yang meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital akibat masalah pernafasan telah berlangsung pagi tadi (Jumaat) dan dihadiri ribuan tetamu. – mD